Amalan wang hantaran merupakan satu aspek budaya dalam majlis perkahwinan Melayu sejak dahulu lagi. Tetapi, benarkah nilainya dianggap sebagai pengikat kasih sayang ?
DALAM majlis perkahwinan budaya masyarakat Melayu, amalan membawa sirih junjung bersama sebentuk cincin merupakan satu kemestian dalam melangsungkan upacara merisik, meminang dan seterusnya bersanding. Ia disertaikan dengan barang-barang iringan hantaran seperti persalinan, wangi-wangian dan sebagainya. Kemudian, barulah wang hantaran dan mas kahwin dibawa pada hari pernikahan dilangsungkan. Wang tersebut adalah pemberian ikhlas pihak lelaki kepada wanita yang ingin dikahwininya. Suatu ketika dahulu, maksud pemberian yang telus itu dihantar bagi meringankan beban keluarga perempuan yang akan menggunakannya untuk menampung pembiayaan majlis kenduri dan membeli barangan kelengkapan perkahwinan seperti set bilik tidur dan persalinan. Namun kini, budaya itu telah berubah dan hantaran tinggi telah menjadi trend untuk menunjuk-nunjuk bahawa lelaki mampu dan datang dari keluarga berada serta berjaya menawan hati perempuan yang mempunyai ramai peminat. Kebiasaannya permintaan dari pihak perempuan tidak akan ditolak bagi mengelak malu untuk menjaga maruah. Apabila permintaan yang terlalu tinggi berlaku maka terjadilah pinjam-meminjam dan bergolok bergadai. Keadaan sedemikian boleh menimbulkan pergolakan dalam sesebuah rumah tangga walaupun ia baru dibina. Memang sukar untuk menikmati kebahagiaan rumahtangga sekiranya kita berpegang dengan prinsip sebegini. Memang tidak dinafikan, dunia hari ini perlukan wang, tetapi wang tidak boleh menyediakan kebahagiaan yang hakiki.
Persoalannya, adakah nilai hantaran itu dianggap sebagai penentuan kasih sayang sehingga pasangan sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak keluarga perempuan mahupun lelaki itu sendiri ? Sekiranya jumlah hantaran pengikat dan penentu kasih sayang, adakah itu bermaksud kasih sayang adalah seperti barangan yang boleh dijual beli? Adakah bermaksud kasih sayang kini sudah tiada ertinya walaupun diperolehi dengan nilai yang tinggi? Pendapat sedemikian hanya timbul dan akan dipersetujui oleh mereka yang memandang wujudnya kasih sayang itu melalui nilai harta. Kesan penentuan jumlah wang hantaran yang tinggi bukan sahaja menimbulkan masalah perkahwinan yang lewat atau perkahwinan tertangguh tetapi memberikan kesan yang mendalam kepada perkahwinan itu sendiri. Kebiasaannya jumlah hantaran ditentukan oleh pihak perempuan sama ada wang hantaran ataupun barang hantaran. Sewajarnya ketetapan hantaran ini dibuat oleh pihak perempuan setelah diadakan perbincangan dengan pihak lelaki. Dengan cara sedemikian, wujudlah keharmonian dalam sebuah ikatan rumah tangga tanpa timbulnya permasalahan melibatkan kewangan mahupun ungkit-mengungkit.
